BADAN LATIHAN KEPIMPINAN BALIKS

Sunday, 24 July 2011

Manual Bercinta: Perigi Timba Sama Mencari



"Sekarang lepas habis degree, nak buat apa pula? Nak kerja atau sambung lagi buat master?," saya bertanya. 


Pada malam itu, alhamdulillah, diizinkan oleh Allah s.w.t. sempat bertukar khabar, bertanya berita kepada seorang kenalan yang berstatus kakak, yang saya kenal hampir 15 tahun silam. Beliau juga antara insan yang saya amat kagumi dan hormati. Akhlaknya baik dan dalam bidang akademik, mendapat anugerah dekan itu biasa. Mantap pokoknya. 



"Akak rasa nak jadi pensyarah. Kebetulan habis degree, pihak universiti tawar sambung master. InsyAllah kakak rasa nak sambung master," jawab beliau. Dengan keputusan yang cemerlang, bukan satu hal yang sukar untuk mendapat tawaran ini. Walaupun dengan usia yang muda, seawal 25 tahun. 



"Ngomong-ngomong, sekarang sudah masuk umur 25. Sudah ada calon belum kak?," saya cuba mencuit dengan nada bercanda. 



"Erm, itu yang akak nak cerita dan minta pendapat Ami ni." 



"Owh... beres. Ceritalah... kalau boleh saya bagi pandangan, ya saya bagi. Jika tak boleh, sekurang-kurangnya menjadi pendengar yang baik," jelas saya. 



"Ada seorang yang suka pada akak, tapi akak tak berapa berminat kerana akhlaknya tak bagus. Jadi akak tolaklah." 



"Bagus, seharusnya macam itulah," komentar saya. Menambah rancak perbualan.



"Itu tak apa lagi. Akak tak kisah pun. Cuma sekarang, bimbang juga, dengan umur sudah masuk 25, tambah pula nak sambung master. Tak ramai lelaki yang berani," jelas beliau.



Sudah menjadi polemik dalam kalangan masyarakat apabila kita bercerita tentang dua kutub insan ini, faktor akademik dan taraf hidup menjadi permasalahan. 



Wanita ramai di pusat pengajian awam, lelaki ramai di pusat serenti. Wanita ramai mencari ijazah, lelaki ramai berusaha menjadi jenazah. Dijalan raya yang "lurus". Itu baru dibuka cerita hal kelayakan duniawi, belum bersembang bab kelayakan akhirat. Susut, paras kritikal. 



Lantas kebimbangan yang dikongsi itu, sebenarnya wajar dan tidak dapat tidak, kita harus mengakuinya. Ralit masyarakat kita, umur 25 tahun, adalah umur yang paling "cun" untuk melangkah ke alam sana. Menghampiri ke umur itu, cukup mendebarkan buat si gadis. Saya mengerti. 



"Jadi sampai sekarang, tak ada lagi lah lelaki yang masuk merisik khabar?" tanya saya. 



"Erm, belum ada. Cuma macam ni, akak ada berkenan dengan seorang lelaki ini. Baik perangai dan insyallah
 soleh. Cuma itu di peringkat akak, jika dia, akak belum tahulah bagaimana."


"Jadi nak minta pandangan Ami, macam mana nak buat?" tanya beliau. 


Mainstream Masyarakat 



Selalunya, setiap hubungan itu dimulai oleh si jejaka. Mendekati si gadis, merisik si gadis, sehingga meminang si gadis. Caranya pelbagai. Bagi lelaki yang faham apa itu Islam,apa itu hukum syarak, si jejaka akan menguruskan dengan panduan tersebut. Tapi tidak kurang juga, lelaki mengambil panduan bukan dari firman tertinggi, ayat-ayat cinta, al-Quran dan sunnah!



Apabila lampu hijau diberikan oleh si gadis, biasanya selepas itu akan menyusullah ijab dan kabul. Lelaki meminang wanita, itu biasa dan lumrah bagi masyarakat. 



"Apa kata, akak yang mulakan dulu. Maksud saya akak yang merisik lelaki tu?" cadangan "ganjil" saya. 



"Ish Ami... seganlah. Tak buat dek orang," pintas beliau.



Ya... perempuan meminang lelaki itu aneh bagi masyarakat kita. Tetapi jika kita menyemak kembali helaian sejarah gemilang, yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat, hubungan membina keluarga Muslim lagi mukmin itu bukan dengan cara satu hala.



Ada sirah mentafsirkan hubungan itu dimulai oleh jejaka meminang wanita. Dalam pada masa yang sama, ada sirah mencatatkan hubungan itu dimulai oleh wanita itu sendiri.Lupakah kita dengan kisah cinta Murabbi Cinta kita, Rasulullah s.a.w. dengan wanita syurga, Siti Khadijah. Dalam kisah cinta, cinta terbaik yang harus kita umat akhir zaman contohi sudah semestinya baginda. Ini membuktikan, pinangan itu bukan satu talian kehidupan yang bersifat satu hala, tetapi boleh bertukar menjadi dua hala. Tergantung keadaan dan masa. 



Seganlah!



Ya segan, kerana tidak dibuat dek orang kita. Sedangkan syariat begitu luar melebar dalam menata hidup umat Islam. Cukup cantik dan cukup sempurna, berbanding keterikatan adat yang menyempit. Menyusahkan. 



Yang wajib, tidak dibuat. 

Yang sunat, dilihat wajib. 
Yang haram, itu dipertahan! 



Sebenarnya, ada sesetengah adat dan syariat yang boleh dicantumkan. Dan jika ada pertembungan, bagi kita yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul, syariat itu diletakkan di hadapan sekali hatta pedang di leher sekalipun. 



Kebenaran itu di zaman ini dilihat asing dan janggal di mata masyarakat. Justeru menjadi "cicak yang pekak" amat dituntut biarpun dicop sebagai tidak tahu malu!



Cara Menghubung 



"Habis tu macam mana akak nak buat? Takkan akak nak jumpa dia, tanya nombor telefon keluarga dia... aneh la dan malu lagi," jelas beliau. 



"Haa.. ada caranya dan malu itu tandanya ada iman," pintas saya. 



Sering kita, malu itu malu tidak bertempat. Ramai wanita ke pusat membeli-belah dengan menayang pusat, bertepuk tampar dengan lelaki bukan muhrim, keluar malam tak ingat dunia, berpeleseran di tempat awam tanpa segan dan malu. Buta hujung, buta pangkal.



Mahu meminang lelaki yang baik untuk diri sendiri? Ah... malu. Malu tidak bertempat.
 

Jika melamar lelaki itu dibenarkan syariat, kenapa tidak?
 


"Saya cadangkan, akak risik dia melalui orang tengah. Orang tengah ini bukan sebarang orang boleh jadi. Dia harus orang yang amanah dengan rahsia dan baik akhlaknya.Jika kita lihat Siti Khadijah itu sendiri dalam meminang lelaki terbaik di dunia, Rasulullah s.a.w. juga melalui orang tengah. Jadi, mengunakan orang tengah adalah jalan terbaik dan dan lebih mulia bagi seorang wanita," terang saya. 



"Biasanya, orang tengah itu siapa?" 



"Biasa orang tengah itu, pasangan yang sudah bernikah. Dan pasangan ini baik antara akak dan lelaki itu. Jadi akak boleh sampaikan hasrat melalui isteri, dan akan disampaikan ke lelaki itu melalui si suami." 



"Menarik... tapi itulah segan juga tu. Macam tak laku pula." 



"Biar memilih, asal jangan salah pilih. Pernikahan, bukan untuk sehari dua. Kita cuba untuk selamanya. Tempat kita mencari ketenangan. Tak laku, low class atau segala macam titleyang diberikan, semuanya sekadar kata manusia. Biar di pandangan manusia low class, tetapi Allah lihat kita hamba yang high class.



"Hurmm..."



"Pandangan kita, gadis bertukar pasangan sekerap menukar lampin bayi, itu 
high classhot stuff. Dibawa ke hilir jantan ini, dibawa ke hulu jantan ini. Itulah "gadis laku" di zaman kita. Jika begitulah, biar tak laku pun apa. Allah lebih mengetahui," saya memberi semangat.


"Cuma satu lagi akak bimbang, macam mana kalau pinangan ditolak lelaki tu? Malulah."



"Disini peranan orang tengah menjadi penghubung yang paling penting. Jika orang tengah itu amanah dan bijaksana dalam melaksanakan misinya, insyallah jika ditolak sekalipun kita masih santai kerana kerahsiaan amat terjaga. Apa-apa pun, doa, usaha dan tawakal itu kuncinya," jawab saya. 



Perigi mencari timba atau timba mencari perigi, masih dalam lingkungan kaedah. Dan jangan kita terlupa core bisnes kita di dunia. Sudah solehkah kita? Sudah solehahkah kita? Dengan menyelesaikan persoalan tentang diri kita, urusan si dia, dengan izin Allah dipermudahkan.



Lelaki baik, untuk wanita baik. Wanita baik, untuk lelaki baik. Itu sifir Ilahi! Itu firman tertinggi! Mahu kita percaya? Tidak perlu dijawab, tanyalah iman!


"Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik (pula)." 
(Surah An-Nur:26)



Biar memilih asal jangan salah pilih...




Di Manakah Sifat Kemanusiaan?

Saban hari kita sering disajikan dengan kes-kes pembuangan bayi. Kes ini bukan semakin berkurangan malah semakin bertambah selaras dengan kemajuan pembangunan negara kita. Gambar-gambar yang dipaparkan melalui televisyen atau surat khabar menambahkan rasa sedih di hati, tersentuh bila memandang bayi yang masih kemerah-merahan dan masih bertali pusat dibuang tanpa seurat benang ditubuh. Kalau kita saja seorang dewasa yang tidak tertahan dengan suhu sejuk di sesuatu tempat, inikan pula seorang bayi yang baru lahir? Di manakah sifat perikemanusiaan seorang manusia itu?




                                                  bayi yg di semak-samun

Semasa melakukan maksiat, tidak terfikir langsung akan akibat yang akan dihadapi, bila perut sudah "memboyot" segala perasaan bermain di minda. Apatah lagi bila telah melahirkan anak yang dikandung, ekoran takut dan malu bercampur baur, maka timbullah tindakan meletakkan bayi yang dilahirkan di mana-mana tempat tanpa memikirkan satu lagi dosa yang dilakukan. Yang menjadi mangsa adalah bayi. Mereka "terjadi" akibat perbuatan sendiri, tanpa dikasihani, mereka dibuang dan dibiarkan begitu sahaja. Apakah dosa bayi tersebut? Lantaran takut dan malu, dosa diketepikan. Kenapa tidak memikirkan perasaan takut dan malu itu semasa melakukan maksiat? Segala pujuk rayu dari kaum lelaki kenapa tidak ditolak? Kononnya sebagai tanda kasih, sayang, cinta...Tetapi kenapa perasaantersebut tidak wujud terhadap bayi yang dilahirkan?

Andainya bayi yang baru dilahirkan pandai berkata-kata, sudah pasti mereka akan meraung, merintih dan menjerit "Ibu...jangan tinggalkan aku di sini, aku adalah hasil dari perhubungan haram antara ibu dan lelaki itu, kenapa aku dibuang dan dibiarkan setelah aku terhasil dari sumpah tanda kasih dan sayang kalian?"

Fikirkanlah wahai muda-mudi, jangan terpesona dengan segala janji dan pujuk rayudaripada seseorang yang bergelar "kekasih", tegaskanlah diri kita dengan berkata "TIDAK" dan dekatkanlah diri kita lebih kepadaNYA agar kita tidak mudah terjerumus dengan segala maksiat atau perkara yang salah di sisi agama.


Photobucket

Teguran Itu Penting




Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain
Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah. Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh
http://3.bp.blogspot.com/_WXdDL1OOkUA/TJi6yza5xdI/AAAAAAAAAAc/zSfC6SDU5v8/s320/IMG_0594.JPG

Jerash, Jordan

Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.
Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang membutuhkan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta  teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.
Lain pula sekiranya seseorang yang tidak membutuhkan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.

Orang yang Menegur
Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba  menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya supaya teguran yang diberikan itu bersifat trully dan hidup. 
Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.
Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.

Orang yang Ditegur

Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".

Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?. 

Yang Paling Penting
Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.
Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.

Saturday, 23 July 2011

Alam Maya VS Alam Realiti

Sedar atau tidak kadang-kadang kita mengabaikan ukhwah, silaturrahim, malah kadang-kadang mengabaikan orang yang terdekat dengan kita akibat terlalu asyik dengan alam maya bahkan alam fantasi.

Sedar atau tidak selalunya kita menghabiskan banyak waktu hanya kerana alam maya sehingga membiarkan orang-orang yang terdekat dengan kita kesunyian.

Sedar atau tidak hanya kerana alam maya sahutan emak di dapur kadangkala tidak diendahkan.
Sedar atau tidak sekian lama kita bersama alam maya sehinggakan makan minum kita kadangkala turut terabai.

Sedar atau tidak, hatta kerana alam maya.. Solat kita dilengahkan.. Seruan dan panggilan Ilahi tak dihiraukan..

Sedar atau tidak orang-orang yang terdekat dengan kita hakikatnya kadangkala perlukan kita untuk memuntahkan rasa bahkan memerlukan kita untuk berkata-kata dengannya.

Sedarkah kita yang kita semakin lupa untuk mengambil berat akan orang-orang yang terdekat dengan kita akibat terlampau leka dengan orang-orang di alam maya.

Sedar tak sedar.. "eh, eh dah malam.." sedar tak sedar asar dah nak habis.. Sedar tak sedar 4 jam berlalu begitu saja..

Kita lebih suka berkata hye, hello, salam atau menyapa mereka-mereka di alam maya.. Sehinggakan kita lupa untuk tebarkan salam buat mereka yang dekat di sisi kita..

Allah..kuat sungguh penangan internet..bersama facebooknya, Yahoo messengernya, blognya, my spacenya.. Wah, membuatkan manusia hidup bersendiri.. nNafsi-nafsi.. Lupa pada hakikat.. Lupa pada berkat..

Lupakah kita pada hablumminannas?? Tidak perlukah kita menghubungkan silaturrahim ataupun ukhwah dengan jiran tetangga kita.. Saudara kita yang realiti ini..

Lihat sudah keadaan di kampus.. Lupa sudah pada rakan yang bersama sebilik.. Penting lagi melayani karenah rakan-rakan di alam maya.. Biarkan rakan sebilik terkapai-kapai sendiri.. Siapa tahu dia sebenarnya perlukan kita untuk mendengar masalahnya.. Siapa tahu dia hakikatnya ingin berkata-kata dan berkongsi sesuatu dengan kita.. Asyik sungguh kita akan alam maya yang kadangkala sedikitpun tidak memberi manfaat malah mendatangkan mudharat kepada orang sekeliling..

Secara realiltinya,siapa yang lebih dekat dengan kita?? Akan-rakan dia alam mayakah yang akan membantu kita di saat kita benar-banar memerlukan bantuan?? Sakit kita, susah kita.. Rakan-rakan di alam mayakah yang menghulurkan tangan, meringankan beban..??

Tidak salah melebarkan jaring, menghubungkan rangkaian, meramaikan kenalan.. Tapi jangan di lupa pada adat berukhwah di alam realiti.. Jangan di lupa pada hakikat hidup secara berjemaah..

Andai pernah kau rasai keramatnya ukhwah.. Tiada sebab untuk kau hidup bersendirian.. Tiada sebab untuk tidak kau mempedulikan perasaan dan hati itu.. Hati itu ingin sekali dibasuh dengan senda gurau bersama.. Hati itu ingin saja menuturkan kata, berkongsi rasa tanpa sepi dari sebarang kata.. 



Syaitan Itu Kreatif....



Pernah satu ketika saya diminta belajar daripada syaitan oleh seorang yang ulama yang dihormati. Saya terkejut. Benarkah ini?

“Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia,” jelasnya.

Saya tersenyum. Ada kebenarannya. Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan. Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuan. Malangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran…tidak se’dinamik’ dia. Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.

Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!

.........KISAH TIDAK LAMA DULU

Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah ke arah kebaikan.

“Mengapa tiba-tiba?” tanya saya.

“Hidayah bang…” jawabnya si dia pendek.

“Bagaimana dengan segalanya?” Risau saya dengan profesyennya.

“Allah ada. Allah akan membantu segalanya.”

“Syukur,” kata saya perlahan.

Setahun kemudian.

“Lihat ini..” kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.

“Betul ke ni?”

“Apa kau ingat ini ‘super-impose’?”

Saya terdiam. Kaku.

“Mana pergi tudungnya?”

“Itu..” tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.

“Itu tudung?”

“Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat.”

“Bertutup tapi terbuka, tahupun…” katanya seakan menyindir.

Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kasihan saya melihat wajah si dia yang terbaru. Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.

“Bang saya insaf bang…“

Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa… dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan. Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu si dia terpilih, sekarang kembali tersisih?
Kini tiba-tiba segalanya semacam ‘ditarik’ kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan… Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali. Kata sesetengah yang setuju, biarlah… itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati… Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa. Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!

Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:

“Syaitan terlalu kreatif…” Kreatif? Bisik hati saya.

Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam… Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah ‘grey’ – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran.” Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja ‘was-was’ baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.

Hasilnya, sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan. Atau peragawati bertudung dengan langkah ‘catwalk’ dengan dada, ‘make-up’ galak sambil yang mengundang pesona dan ‘aura’ dosa. Dan lebih ‘daring’ lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung… Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah ‘grey’? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.

Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:

Tudung wanita itu ada empat… tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.” Apa ertinya? “Tudung pada wajah… jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada matajangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersonaTudung pada hati mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…

“Jangan terlalu ekstrem,” tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang ‘penghormatannya’ (baca betul-betul… bukan ‘kehormatan’). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum.”
“Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya… tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah,” balas saya perlahan.

“Aku tak faham. Maksud kau?”

“Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan.”

“Lantas?”

“Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan… tentu ada yang salah dalam penutupannya.”

“Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik.”

Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran…”

“Jadi kebenaran menolak keindahan?”

“Keindahan itu satu kebenaran!” balas saya cepat. Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai ‘aksesori’ ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai ‘fesyen’ orang ‘baik-baik’ dan orang ‘cantik-cantik’ berbanding syariat wanita yang beriman!

“Hormati, itukan era transisi” kata seorang sahabat seakan memujuk saya.

“Transisi? Apa maksud mu?”

“Sebelum lengkap bertudung… err… maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung.”

“Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja… ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?”

Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.

“Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmu. Mereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelap. Kemudian cari kawan-kawan yang sehaluan. Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita…”

“Kau kata mereka tidak ada ilmu?’”

“Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading– maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri,” kata saya.

“Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?.”

“Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata.”

“Maksud kau?”

“Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang.”

Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara. Untuk diri, isteri, anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua. Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam… menjadi ‘malaikat’ yang diam? Oh, tidak… Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit! 


Monday, 18 July 2011

Sentiasa peka padanya~~~~~~~

  1. Yang Singkat Itu WAKTU.
  2. Yang Menipu Itu DUNIA.
  3. Yang Dekat Itu KEMATIAN.
  4. Yang Besar Itu HAWA NAFSU.
    Yang Berat Itu AMANAH.
  5. Yang Mudah Itu BUAT DOSA.
  6. Yang Susah Itu SABAR.
    Yang Sering Lupa Itu BERSYUKUR.
  7. Yang Mendorong Ke Neraka Itu LIDAH.
    Yang Berharga Itu IMAN.
  8. Yang Ditunggu Allah Itu TAUBAT...

cinta islamik?????

Memang sudah menjadi naluri remaja untuk bercinta dan dicintai. Sudah
 menjadi kebiasaan mereka apabila mereka yang dilamun cinta ini menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan percintaan sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan haram dalam Islam.
                                                             
 Antara ayat-ayat yang kerap mereka ucapkan seandainya berbicara tentang cinta adalah:
'ala..aku couple dengan dia sebab nak tolong dia berubah..'
'saya cintakan awak kerana Allah..'
'Kita couple tapi bukan buat maksiat pun..'
Firman Allah S.W.T:
"Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': 32)
Allah menurunkan ayat ini kerana iman manusia ada turun naik nya, mungkin hari ini iman kita setebal tembok batu tapi mungkin keesokannya iman kita menjadi lebih nipis daripada kulit bawang. Bagaimana kita bisa menjamin kekuatan iman kita sedangkan kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber'couple' sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina. Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa.
'macam mana nak cakap dengan dia ni? Aku sayang dia!'
'kalau minta 'break', nanti dia sanggup tunggu aku ke?'
'
'tak apa kot, kami bukan macam pasangan lain,kami jaga pergaulan walaupun 'couple'
'kita couple ni kan sebab nak berubah sama-sama. Tak salah..'
Sahabat, andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya?. Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.
                                                            
Menolak cinta sebelum adanya pernikahan yang sah tidak bermakna kita perlu beserah 100%  tanpa usaha. Usaha yang perlu kita lakukan adalah dengan menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Sebagaimana janji Allah yang berbunyi, Allah menciptakan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.
Firman Allah di dalam Surah An-Nur:
"dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (Al-Nur 24 :26)
Iya, untuk sabar dan menolak sesuatu yang telah menjadi 'realiti kehidupan' ini memang pahit, tapi yakinlah bahawa buahnya sangat manis. Insya-Allah! Ayuh! Kita sibukkan diri agar dapat kuatkan diri dan hati. Ayuh! Kita ubah prinsip, andai sebelum ini kita jadikan agama landasan untuk menghalalkan apa yang haram, sekarang kita jadikan agama sebagai landasan menolak untuk mengadakan hubungan percintaan sebelum pernikahan. Ayuh! Kita abadikan doa ajaran Rasulullah ini dalam sujud ;
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa" (Al-Furqan 25:74")
Ingatlah! percintaan selepas adanya ikatan perkahwinan yang sah akan mendapat keberkatan Allah, mawaddah warahmah akan kekal subur dan sentiasa mekar dalam keberkatan                

                                                               

Sentiasa peka padanya~~~~~~~

  1. Yang Singkat Itu WAKTU. Yang Menipu Itu DUNIA. Yang Dekat Itu KEMATIAN. Yang Besar Itu HAWA NAFSU.
    Yang Berat Itu AMANAH. Yang Mudah Itu BUAT DOSA. Yang Susah Itu SABAR.
    Yang Sering Lupa Itu BERSYUKUR. Yang Mendorong Ke Neraka Itu LIDAH.
    Yang Berharga Itu IMAN. Yang Ditunggu Allah Itu TAUBAT...          
  2.                          

Sunday, 17 July 2011

mahu jadi seperti mereka !!!!

Secekal Al-Fateh Segagah Al-Ayyubi
www.iluvislam.com
Oleh: qamar_muneera
Editor: cincaugoreng

Bayu Bosphorus1 bertiup manja. Kadang-kadang nakal menampar-nampar lembut wajah Fateh. Bau masin laut menerawang di ruang udara. Berebut-rebut menerobos indera hidunya. Indera lihatnya tidak puas-puas merakam keindahan pagi di tebing Bosphorus walaupun acapkali dia ke mari. Bogaziçi, begitulah gelaran untuk selat ini dalam bahasa Turki. Dari jauh sayup-sayup kelihatan pelabuhan Golden Horn. Di pelabuhan itulah suatu ketika dulu 70 buah kapal milik pasukan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh mendarat. Gempar Maharaja Konstantine ketika itu. Apa tidaknya, kapal-kapal itu dipindahkan menggunakan jalan darat. Kapal-kapal itu diluncurkan melalui Semenanjung Fera sejauh tiga batu sebelum sampai ke Pelabuhan Golden Horn. Sungguh, Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menukar daratan menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukan di ombak lautan. Dalam-dalam Fateh manarik nafas. Matanya kejap dipejam. Seolah-olah mencari semangat Sultan Muhammad Al-Fateh yang masih tersisa di selat itu.

“Setiap kita harus menjadi secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai kita mahu menawan kembali Baitul Maqdis. Palestin hari ini ialah Konstantinopel2. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun menjadi seperti tentera-tenteranya. Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh itu sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera?”

Kata-kata Safiyya bersipongang3 di segenap jihat4 fikiran Fateh. Atma5nya dijentik sebak.

“Bagaimana tanganmu, Safiyya? Masih sakit lagi?” sapa Fateh. Dalam kesibukan merawat pesakit-pesakit di musytasyfa6, Fateh sempat lagi mencuri ruang menjenguk Safiyya. Keadaan dalam hospital semakin sesak. Setiap inci tempat ada sahaja batang tubuh yang terbaring memerlukan bantuan perubatan. Entah sampai bila bangunan Musytasyfa al-Syifa ini boleh terus berdiri untuk menampung jumlah pesakit yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut.

Safiyya sekadar menguntum senyum pada pemuda berkumis nipis berjanggut pandak7 itu. Fateh memeriksa keadaan tangan Safiyya.

“Andai aku hilang tangan kanan, aku masih punya tangan kiri untuk terus berjuang,”  mata Safiyya bersinar galak. Tiada tergambar garis-garis kecewa pada air mukanya. Fateh terkesima. Teringat dia kisah Jaafar bin Abi Thalib dalam ghazwah8 Mu’tah. Walaupun kedua-dua tangannya dicantas musuh, panji yang diamanahkan oleh Rasululah tidak dibenarkan mencium tanah. Dipeluk panji dengan kedua-dua lengannya. Rasa kagum pada sahabat nabi yang bergelar At-Tayyar9 itu kini turut singgah pada Safiyya.

Abi ada datang menziarahiku?” suara gadis itu sedikit kendur. Safiyya dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dia dihantar ke hospital tempoh hari. 
“Err...” Fateh gugup. Dia hilang bicara. Sebetulnya Basil Mustapha tidak pernah kembali sejak dia menghantar anak gadisnya.
“Apa kamu bimbang aku tidak tega mendengar berita kesyahidannya?” Safiyya menduga. Khali10.
“Bahkan itu jawapan yang paling aku nanti,” sejenak pandangan mereka bersatu.
“Aku tidak punya jawapan untuk soalanmu itu. Yang pasti, abimu tidak pernah kembali sejak dia menghantar kamu ke sini,” Fateh gagahi diri untuk berterus-terang. Lebih dua puluh hari Safiyya menanggung derita akibat peluru yang terbenam di bahu kanannya. Andai Basil Mustapha, ayahnya lewat sehari menghantarnya di Musytasyfa Al-Syifa itu, Safiyya bakal kehilangan anugerah Allah itu. Otot tangannya  terurai. Tisu dagingnya mati dan saraf tangan Safiyya hancur lumat. Semuanya gara-gara bedilan  rejim zionis yang menggila di Gaza. Fateh tambah bengang apabila mengetahui Safiyya pernah cuba dihantar menjalani pembedahan di hospital Kaherah, Mesir melalui pintu sempadan Rafah beberapa hari selepas terkena tembakan. Namun gara-gara sekatan di sempadan, Safiyya gagal dibawa keluar dan tersadai tidak terbela di pintu sempadan Rafah sebelum Basil Mustapha membawa Safiyya kembali ke Gaza.
“Aku sedang membantu ummi di kedai runcit kami ketika tiba-tiba kami dihujani tembakan peluru si zionis. Ummi terkorban. Begitu juga adikku Soufiyyan,” Safiyya membetulkan jilbabnya yang hampir melorot ke belakang. Beberapa helai rambut yang terjurai di dahi segera disusup ke dalam jilbab hitamnya. Cekatan11 Fateh membuka balutan di tangan Safiyya. Bekas luka dicuci penuh berhati-hati. Lurah-lurah kecil terbentuk di dahi Safiyya. Dia menyeringai kesakitan.
 
Jabeliya, tempat tumpah darah Safiyya ialah kawasan terawal yang menjadi sasaran bedilan tentera Israel. Kawasan yang suatu masa dahulu meriah dengan rimbunan pokok zaitun, deretan rumah dan beberapa bangunan kilang kini menjadi padang jarak padang terkukur. Tiada yang tersisa melainkan serpihan-serpihan batu bata yang berselerakan di sana sini.

“Aku bersimpati terhadapmu, Safiyya. Begitu juga dengan mereka yang senasib denganmu,” Fateh meluahkan rasa simpati. Wajah Safiyya diseluruhi. Senyumannya yang kini membuat Fateh tidak lena tidur malam. Lirik matanya benar-benar buat Fateh tidak keruan. Fateh dapat merasakan denyutan jantungnya menyalahi tempo12 setiap kali berhadapan dengan gadis dari Desa Jabeliya itu. Kadang –kala lidahnya jadi kelu ibarat mulutnya penuh disumbat batu. Keteguhannya memelihara syariat Ilahi membuatkan Fateh tambah jatuh hati. Biarpun sakit dan berada dalam kesulitan suasana perang, jilbab masih lekat di kepala. Saat itu dia terkenang  Welma, kekasihnya. Welma tidak kalah jika hendak dibandingkan dengan Safiyya. Cuma bezanya, Welma lebih selesa membiarkan rambutnya yang ikal ditayang di khalayak.  Welma lebih senang mengenakan skirt pendek dan menampakkan kulit kaki yang halus dan gebu. Mungkin kesalahan tidak boleh seratus peratus diletakkan atas pundak13 Welma. Pemakaian jilbab sememang diharamkan di negaranya. Welma juga sepertinya, jauh dari biah14 Islamiah dek dasar-dasar negara yang tidak memihak kepada syariat samawi15.

“Aku juga bersimpati terhadapmu, Fateh,” Fateh sedikit tersentak. Wajah Welma hilang dari pandangan.
“Kamu bersimpati terhadapku?” Fateh kebingung-bingungan.
 
 
 

“Hakikatnya Fateh, kita sama-sama diserang. Bezanya, kami di Palestin diserang secara fizikal sedang umat Islam di luar sana diasak secara halus,” Safiyya mengurut-urut lembut tangannya yang telah selesai berganti balutan. Fateh mengangguk-angguk kecil.

“Contoh paling mudah,  budaya hedonisme.. Umumnya, ideologi hedonistik ini memfokuskan kepada perkara yang boleh meningkatkan keseronokan dan mengurangkan perkara-perkara yang menjuruskan seseorang kepada kesedihan (increasing pleasure and reduce pain). Tanpa umat Islam sedari, mereka telah  disuntik  dengan doktrin16 ini. Al-hasil, lahirlah golongan umat yang tidak berpijak di bumi realiti. Mereka meletakkan simbol  keseronokan serta kemewahan sebagai satu prioriti dalam hidup. Hidup bersandarkan angan-angan. Maka benarlah sabda Baginda SAW junjungan kita, kebaikan generasi pertama umat ini kerana adanya cita-cita untuk syahid dan keimanan yang tidak berbelah bagi. Binasanya generasi akhir umat ini kerana adanya sifat bakhil dan banyak berangan-angan,” Safiyya menghela nafas. Fateh membisu. Hanya otaknya ligat mencerna bicara Safiyya.

“Cuba kau teliti semula sejarah empayar Islam.  Fateh, kau akan dapati bahawa jatuhnya empayar Islam sama ada kerajaan Abasiyyah ataupun Kerajaan Turki Uthmaniyyah tidak lain dan tidak bukan adalah kerana pemimpin dan rakyat ketika itu menganuti aliran ini. Hidup berpaksikan keseronokan dan kemewahan. Enak tenggelam dibuai hiburan melampau. Maka, suburlah penyakit dalam hati yang disebut Nabi sebagai wahan. Cintakan dunia dan takutkan mati. Percaya atau tidak, ideologi inilah yang mengunci bicara, memaku gerak tindak para pemimpin Islam hari ini. Menikus di hadapan Israel kerana bimbang untuki maju ke hadapan membantah.  Khuatir segala keselesaan yang dikecap akan lenyap,” suara Safiyya sedikit keras. Renungannya tersimpan amarah yang tidak terungkap. Fateh terus selesa mengambil sikap mendengar. Fateh hampir lupa, Safiyya mahasiswa tahun akhir dalam bidang sosiologi dan sejarah di Universiti Islam Gaza. Sebelum sempat menamatkan pengajian, bangunan kuliah ranap tersungkur di dada bumi.

“Jihadmu bukan di sini, Fateh,” lemah kedengaran di hujung suara gadis dari desa Jebaliya itu. Otot dahi Fateh tegang. Mulutnya yang sedikit ternganga cepat-cepat digetap.

“Apa salahkah aku ingin menjadi Salahuddin Al-Ayubbi?” Fateh akhirnya menzahirkan rasa tidak puas hati yang bergulat dalam diri. Safiyya tersengih. Fateh rasa seolah-olah cita-citanya diperkecil-kecilkan. Seolah-olah dia tidak layak untuk menyimpan impian setinggi itu.

“Aku lebih suka engkau menjadi Al-Fateh. Sesuai dengan namamu Fateh,” ujar Safiyya dalam nada berseloroh.

“Sultan Muhammad Al-Fateh?” Fateh ingin kepastian.

“Aku hargai pengorbananmu datang menjejakkan kaki di bumi Palestin ini untuk membantu kami. Ya, sememangnya di sini kami memerlukan bantuan pakar perubatan sepertimu. Namun, antara sedar atau tidak, umat Islam di luar sana jauh lebih sakit dari kami yang sedang terlantar di hospital ini. Mereka lebih perlukan rawatan dan perhatian, Fateh” Safiyya kembali serius.

“Kota Konstantinopel hanya berjaya dibuka setelah 800 tahun dikhabarkan Rasulullah SAW. Sultan Muhammad berjaya membuktikan kebenaran sabda baginda dengan usaha yang tidak sedikit. Sejak kecil baginda telah disuguh17kan bahawa bagindalah yang akan membuka Konstantinopel. Malah kelahiran Salahuddin sendiri telah dirancang seawal zaman Imam Al-Ghazali. Inilah jihadmu, Fateh. Di bahumu tergalas satu tanggungjawab untuk merancang dan melahirkan generasi sehebat Al-Ayyubi dan secekal Al-Fateh. Hanya generasi berjiwa besar seperti mereka sahaja  yang dapat membumikan cita-cita seluruh umat Islam yakni melihat masa depan menjadi milik Islam,” berdiri bulu roma Fateh mendengar hujah Safiyya. Lafaz takbir perlahan-lahan mercup18 di tubir bibirnya.

“Aku akan pulang ke Turki dalam tempoh masa terdekat ini,” Fateh menelan air liur. Fateh nekad pagi itu dia akan berterus terang tentang isi hatinya.

“Safiyya, sudikah engkau mengikut aku?” kerongkongnya perit. Awalnya, Safiyya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Lambat-lambat Safiyya mengangkat muka, memandang tepat wajah Fateh.
“Maafkan aku, Fateh, aku harus terus tinggal di sini. Di sini jihad aku bermula dan bertapak. Pulanglah engkau ke tanah airmu. Aku ada perjuangan aku dan engkau ada perjuangan engkau. Biarpun perjuangan berbeza tetapi matlamat kita sama. Setiap kita harus menjadi secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai kita mahu menawan kembali Baitul Maqdis. Anggaplah Palestin hari ini ibarat Konstantinopel. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun menjadi seperti tentera-tenteranya. Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh itu sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera?”  Safiyya tega dengan keputusannya. Fateh tahu dia tiada upaya mengubah fikiran Safiyya. Dari awal lagi dia boleh mengagak apa jawapan yang bakal diterima. Biarlah. Sekurang-kurangnya dia tidak terus berteka-teki dan menyimpul andaian sendiri.

“Aku hormati keputusanmu,” awan pilu berarak menyelubungi wajah Fateh. Fateh berlalu sambil membujuk19 kalbu. Fateh tidak menyangka itu pertemuan terakhir mereka. Safiyya menghilangkan diri sejak itu. Tiada siapa nampak kelibatnya lagi di musytasyfa. Fateh dirundung rasa bersalah. Namun, Fateh yakin Safiyya pergi bukan kerana jauh hati dengannya.


Abi! Abi!” Fateh menoleh. Seorang kanak-kanak lelaki menerpa ke arah Fateh yang sedia mendepangkan tangan. Welma ayu dalam jilbab hijau pucuk pisang mengekori kanak-kanak itu di belakang. Jubahnya beralun-alun ditiup angin. Tubuh kecil itu dirangkul Fateh. Bertubi-tubi ciuman Fateh singgah di pipinya.

“Siapa yang akan menawan Baitul Maqdis?” Fateh separuh menjerit. Soalan itu seringkali singgah di cuping telinga anaknya.

“Saya, abi!” sambut anak kecil seperti biasa. Tangannya dijulang tinggi-tinggi. Satu ciuman singgah dipipi munggilnya.
“Kamu pasti, anakku?” Welma mengangkat kening sambil merapatkan wajahnya ke wajah anaknya sehingga dahinya mencecah dahi anaknya.

“Saya pasti ummi kerana saya Salahuddin Al-Ayubbi zaman ini!” Salahuddin petah membalas walaupun sedikit pelat. Gelak tawa mereka beranak-pinak.

"Terima kasih, Safiyya. Moga perjuanganmu dan perjuanganku tidak sia-sia," bisik hati Fateh. Tangan Welma dirangkul. Salahuddin mengeliat kecil dalam dukungan Fateh. Beriringan mereka berjalan meninggalkan Selat Bosphorus bersama adunan semangat Al-Fateh dan Al-Ayubbi.